Semai aspirasi kemerdekaan, fahami makna kedaulatan negara





Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Hernie Suliana Haji Othman, Arifah Mohammad Aliwaridi

 




TUNGKU LINK, Rabu, 25 Februari. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Kementerian Pendidikan selaku penganjur bersama hari ini mengadakan Forum Khas Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-42, Tahun 2026 bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.


Turut hadir semasa forum khas tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, selaku Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-42, Tahun 2026.


Antara tujuan forum khas ini diadakan adalah untuk menyemai aspirasi kemerdekaan bagi memastikan generasi masa kini memahami makna kedaulatan negara dengan lebih mendalam.


Selain itu, forum khas ini turut memberi penekanan kepada Wawasan 2035 dengan mengetengahkan perjalanan pembangunan ekonomi, sosial, dan kerohanian negara, di samping memperkasa generasi baharu dalam memupuk semangat patriotisme serta penghargaan terhadap kemajuan yang telah dicapai.


Forum khas ini dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan', diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Universiti, UBD, Awang Abdul Muhaimin bin Dr. Haji Serbini.


Acara kemudiannya diteruskan dengan tayangan klip video khas yang memaparkan wawancara eksklusif bersama tokoh pemimpin dan sejarawan negara mengenai perjuangan kemerdekaan serta pengalaman mereka dalam menyaksikan pembangunan negara pasca 1984.


Kemuncak acara ini ialah Sesi Panel Forum Khas yang dimudah cara oleh Penolong Ra'es III (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dr. Awang Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk.


Forum khas tersebut menampilkan empat orang ahli panel terdiri daripada para pegawai kanan dan tenaga akademik dalam bidang-bidang yang berkaitan ekonomi, pendidikan dan sosial bagi membincangkan hala tuju negara dalam konteks pembangunan pasca kemerdekaan serta aspirasi masa hadapan NBD, iaitu Pemangku Pengarah Dasar dan Strategi Tenaga, Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dayang Noor Dina Zharina binti Haji Yahya; Pemangku Pengarah, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dayangku Norhanidah binti Pengiran Haji Masshor; Penolong Profesor, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kementerian Pendidikan, Dayang Dr. Dayang Hajah Ummi Fa'izah binti Haji Abdul Rahman dan Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid.


Acara turut diserikan dengan persembahan deklamasi sajak oleh pelajar Master of Teaching di UBD, Awang Muhammad Firdaus bin Awang Abdul Sani.


Sajak yang dipersembahkan bertajuk 'Lewat Gerbang Kemerdekaan' yang merupakan sebuah karya sastera hasil ciptaan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.


Turut hadir di acara tersebut ialah Timbalan-timbalan Menteri dari JPM dan KHEU; Setiausaha-setiausaha Tetap dari JPM, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, KHEU, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan KKBS; Naib-naib Canselor dan Rektor; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi, KHEU, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan KKBS; para belia dari agensi kerajaan dan persatuan-persatuan belia; para pelajar dari institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta; serta para pelajar dari sekolah-sekolah menengah dan pusat-pusat tingkatan enam.


Close